Selesaikan harga tawaran kontrak – PPKKM

KUALA LUMPUR — Kementerian Sumber Manusia perlu menyelesaikan segera isu harga tawaran kontrak oleh sektor awam kepada syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan yang sudah tertangguh sejak Januari lepas.

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, ahli persatuan itu tidak mampu melaksanakan skim gaji pokok baru iaitu RM700 pada 15 Feb lalu kerana tiada maklum balas daripada kementerian tersebut mengenai harga tawaran kontrak itu.

Kebanyakan syarikat swasta bersetuju dengan harga tawaran kontrak baru tetapi mereka masih belum menerima kata putus dari kementerian, katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, seramai 40,000 pengawal keselamatan bekerja di sektor awam dengan sebahagian besar daripada mereka di Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

PPKKM tidak melaksanakan skim gaji minimum itu pada 15 Feb lalu selepas Kementerian Sumber Manusia memberi kelonggaran sehingga 30 Jun ini untuk melaksanakannya. — Bernama